Jan 26, 2026 9AM
Institusi fatwa proaktif manfaatkan teknologi AI
Institusi fatwa di Malaysia tidak ketinggalan dalam mendepani arus Revolusi Kecerdasan
Buatan (Artificial Intelligence atau AI), sebaliknya mengambil pendekatan proaktif dengan mengkaji, memahami dan memanfaatkan teknologi tersebut dalam kerangka syariah bagi memastikan ia dimanfaatkan secara beretika dan bertanggungjawab.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata perkembangan AI merupakan realiti semasa yang tidak dapat dielakkan dan perlu ditangani dengan pendekatan ilmu, tajdid serta reformasi, selaras dengan prinsip Islam yang sentiasa relevan merentas zaman.
Mengulas peranan AI dalam institusi fatwa, beliau menegaskan bahawa teknologi tersebut boleh dimanfaatkan sebagai alat sokongan, khususnya dalam penyelidikan, dokumentasi dan penyampaian fatwa kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih mudah difahami, mesra dan relevan dengan generasi muda.
Namun, Ahmad Fauwaz menegaskan bahawa AI tidak boleh menggantikan peranan mufti atau manusia dalam membuat keputusan hukum.
“AI boleh membantu, tetapi keputusan fatwa mesti dibuat oleh manusia yang bertanggungjawab. AI tidak boleh menggantikan mufti, tidak boleh ganti imam masjid atau ganti perdana menteri.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata perkembangan AI merupakan realiti semasa yang tidak dapat dielakkan dan perlu ditangani dengan pendekatan ilmu
“Kita tidak boleh membenarkan AI beri fatwa. Tetapi fatwa-fatwa yang sudah dikeluarkan, boleh diguna untuk disampaikan kepada masyarakat dalam bentuk mudah dan lebih senang difahami oleh anak muda.
“Dari perspektif fatwa, penggunaan AI untuk membantu tugas mufti adalah dibenarkan. Ini termasuk penghasilan bahan visual atau tulisan yang disahkan oleh Jabatan Mufti, sama ada dalam bentuk imej, teks statik atau kandungan yang disuarakan semula tetapi mesti tepat dan tidak ada salah laku ataupun penipuan fakta dan seumpama,” katanya.
Menurut beliau, AI sebagai alat sokongan dalam pelbagai bidang tidak menjadi isu dari sudut pandang fatwa, namun ia masih memerlukan penelitian rapi dari aspek perundangan.
Ahmad Fauwaz berkata, dari sudut undang-undang, penggunaan AI perlu dinilai berdasarkan peruntukan dan garis panduan sedia ada.
“Isu sama ada AI boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam proses perundangan masih perlu diperhalusi dan diteliti oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rancangan Syariah dan Perundangan di IKIM FM dalam temubual bersama IKIM FM baru-baru ini.
Ahmad Fauwaz turut menyentuh kebimbangan berkaitan penyalahgunaan AI, termasuk isu fitnah, manipulasi maklumat dan defisit etika, yang perlu ditangani melalui pendidikan, kefahaman agama dan penguasaan ilmu teknologi itu sendiri.

Ahmad Fauwaz menerusi rancangan Syariah dan Perundangan di IKIM FM bersama penyampai radiao IKIM FM Syafiq Salleh
“Umat Islam tidak seharusnya takut kepada AI, sebaliknya perlu menguasainya agar teknologi ini dapat digunakan untuk membina akhlak, memperkukuh iman dan membawa kesejahteraan dunia serta akhirat,” katanya.
Beliau menggesa semua lapisan masyarakat, termasuk golongan dewasa dan warga emas, agar tidak menjauhkan diri daripada teknologi, sebaliknya mengambil sikap terbuka untuk belajar bagi merapatkan jurang generasi dan memudahkan usaha dakwah serta bimbingan.
“Kami berpandangan bahawa AI amat penting dalam melaksanakan agenda pendekatan dakwah serta penyampaian fatwa dalam bentuk yang lebih mudah dan berkesan.
“Justeru, kami bergerak ke arah menjadikan penyampaian fatwa lebih mudah difahami, lebih mesra masyarakat dan lebih mendalam tanpa menolak penggunaan teknologi AI,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan juga mengambil inisiatif awal dengan menerbitkan sebuah buku bertajuk Institusi Fatwa Dalam Arus Revolusi Artificial
Intelligence, yang membincangkan secara menyeluruh isu AI dari perspektif syariah.
“Buku ini merupakan hasil penulisan berasaskan kertas kerja yang saya bentangkan di Mosul pada hujung Ogos lalu dan kemudiannya dibukukan bersama pasukan di Jabatan Mufti.
“Ia diterbitkan dalam bahasa Arab sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bagi manfaat masyarakat secara lebih meluas,” katanya.
Beliau menjelaskan, penerbitan buku berkenaan bertujuan menjelaskan institusi agama dan kerajaan tidak terpinggir daripada arus perkembangan teknologi, sebaliknya memainkan peranan aktif dalam membimbing masyarakat agar AI digunakan sebagai wasilah kebaikan.
“Syariah tidak datang untuk menentang teknologi, tetapi untuk menyusun, mengurus dan membimbing teknologi agar selari dengan nilai akhlak.
“Melalui buku ini kita menghuraikan dan menelusuri semua isu-isu penting berkaitan AI supaya masyarakat tidak berkata ulama terpinggir, ulama tidak mengambil berat atau ulama mengasingkan diri daripada kehidupan dan teknologi.
“Buku ini menjawab kami sentiasa ke hadapan dan bersaing dengan zaman,” katanya.
Buku Institusi Fatwa Dalam Arus Revolusi Artificial Intelligence merupakan penerbitan pertama seumpamanya di Malaysia yang membahaskan isu AI secara mendalam dari sudut syariah, merangkumi aspek manfaat, cabaran, batasan serta peranan sebenar teknologi dalam kehidupan beragama.
Buku tersebut boleh didapati terus di Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan atau semasa program-program rasmi jabatan dan disasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ilmuwan, penggubal dasar, pendidik, pelajar serta ibu bapa.
Waktu Solat


26 Jan 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:50
















